Sebut angka sahaja tentu mengingatkan kita kepada sekolah dan pembelajaran, kan? Angka adalah salah satu konsep yang kerap digunakan dalam kehidupan seharian. Mendidik Si Manja memahami angka pada usia yang sepatutnya adalah sangat bermanfaat untuk tumbesaran mereka. Misalnya, angka membantu Si Manja menterjemahkan kemahuan mereka – mahu dua biji anggur atau tiga biji anggur? Malah dengan mendidik fungsi angka sebenarnya membantu menenangkan Si Manja ketika ‘mood’ mereka tidak baik.
Bilakah waktu yang bagus untuk mendidik anak-anak tentang angka?
1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10. Nampak macam tiada masalah tapi bukan mudah untuk Si Manja mempelajarinya. Angka adalah konsep abstrak dan bukanlah difahami secara visual seperti perkara lain. Katakan Mama menyebut “oren”, anak-anak akan mudah membayangkan buah yang bulat. Tetapi apabila mendengar “8”, sukar untuk mereka membayangkan yang ia adalah “angka selepas 7”.
Secara umumnya, Si Manja mampu menyebut angka berlainan pada usia 18 bulan. Namun, pada permulaannya mereka sekadar meniru bunyi yang terhasil, dan tidaklah memahami maksud sebenar. Disebabkan itu, Si Manja cenderung untuk melangkau angka dan tidak mengikuti turutan di peringkat awal mengira jika tiada bimbingan daripada ibu.
Pelajari angka dalam bahasa ibunda terlebih dahulu.
Seperti disebut sebelum ini, konsep angka adalah cenderung menjadi abstrak untuk difahami. Jadi eloklah dimulakan dengan mengira dalam bahasa ibunda Si Manja (sebagai contoh, Kantonis). Angka dalam Bahasa Inggeris atau bahasa asing sebaiknya diajar selepas anak-anak mampu memahami konsep angka dalam bahasa ibunda mereka. Sebaliknya jika anak-anak dididik tentang nombor menggunakan pelbagai bahasa akan menjadikannya lebih sukar dipelajari dan mengakibatkan anak-anak bercelaru.
Ikuti prinsip “satu = satu”
Memandangkan angka adalah konsep abstrak, sebaiknya pastikan anak-anak membayangkan angka sewaktu diajar. Pastikan prinsip “satu = satu” turut dipatuhi iaitu satu angka hanya mewakili satu objek. Sebagai contoh, Mama meletakkan sebiji strawberi dan menyebut “satu”, kemudian menambah sebiji lagi dan menyebut “dua” sehingga seterusnya. Ini membantu Si Manja memahami angka yang diwakili menerusi objek sebenar. Untuk hasil terbaik, gunakan objek yang sama apabila mengajar mereka mengira. Sebagai contoh , hanya gunakan strawberi untuk kira-kira tanpa buah lain (bukan satu strawberi, dua oren, tiga pisang, dan sebagainya) untuk mengelakkan Si Manja terkeliru.
Belajar angka melalui lagu
Mama sebenarnya mampu membuat proses pembelajaran lebih menarik. Sebagai contoh, sediakan beberapa kad dengan lukisan burung dan nyanyikan “seekor burung jatuh ke dalam air, ke dalam air, ke dalam air” sambil menayang sebuah kad dan diikuti satu lagi kad sambil menyanyikan “dua ekor burung jatuh ke dalam air, ke dalam air, ke dalam air”. Ini menjadikan proses pembelajaran lebih menarik untuk diikuti Si Manja.
Dengan belajar mengira, Si Manja lebih mudah mengekspresikan diri dan menerima perkara baharu dalam dunia yang serba menakjubkan ini!